About Me

My photo
Makanan boleh membuat seseorang itu gembira, makanan juga boleh membuat seseorang itu marah dan kecewa..........

Pages

Wednesday, April 21, 2010

Nasyye - Kek Comel

Kek comel untuk Nasyye, kawanku ni pelik sikit, kalau dia susah hati, mesti nak makan kek coklat, tapi kek coklat tu nak yang comel dan kecil.....hai Cumi (panggilan kat ofis) asal kau bahagia, semoga hidupmu lebih banyak gula dari garam.....ha....ha...

Ice Cream Cakes

Sebiji Kek Span potong 3, lapiskan setiap lapisan dengan ice cream


Setelah itu sapukan sekeliling kek dengan whipped cream, hiaskan dengan strawberry segar dan almond flake di sekeliling cake, simpan di petisejuk, semasa hendak menghidang baru keluarkan....

Friday, April 16, 2010

Rojak Buah



Rojak Buah

Sumber: Buletin TPU UPM


Buah-buahan:


Betik 3/4 masak

Sengkuang

Timun

Nenas /Jambu Air/Jambu Batu

Kedondong

Mangga 3/4 masak



Kuah:


100 gm cili kering (dikisar)

1/4 kilo gula merah + Gula pasir

100 gm belacan

Sedikit air + asam jawa (mengikut kepekatan/citarasa)

Garam halus secukup rasa

150 gm kacang tanah - goreng - (kisar ikut suka kasar atau halus)


Cara membuatnya:


Cili kering dan belacan yang telah dikisar, digoreng dengan sedikit minyak dengan api yang perlahan. Setelah cili tadi garing dan naik baunya, masukkan gula merah dan gula pasir kedalam cili tadi, kacau hingga rata. Masukkan air asam jawa dan garam, kacau hingga sebati. Masak angkat, dan sejukkan kuahnya.


Cara menghidang - potong buah-buahan tadi dan digaul dengan kuah rojak, tabur kacang tanah di atasnya.


Emira Nerms - Finalis Gadis Melayu Musim Pertama


Kek ini untuk Emira Nerms, Finalis Gadis Melayu Musim Pertama, tq Mira dan Shakira kerana menolong Kak Nor membangunkan blog putihputihflavour, dalam banyak-banyak kumbang tu yang mana satu dapat Mira ya...! sayang u all

Selamat Hari Lahir Ayahnda - Kami Sayang Ayah


Selamat Hari Lahir AYAH Hj. Othman b. Md. Taib, dari kami anak-anak ayah, menantu-menantu dan cucu-cucu, semoga ayah sentiasa dirahmati Allah dan diberi kesihatan yang baik. Kami semua sayang AYAH. Terima kasih ayah kerana sentiasa mendoakan kesejahteraan dan merahmati kami. Jasa AYAH membesarkan kami anak-anak ayah tidak terbalas oleh kami. Tarikh lahir ayah 12 Rabiulakhir 1431H bersamaan 28 Mac 2010, genap usia Ayah 72 tahun - Amin....

Thursday, April 15, 2010

Queen Cake

Queen cake ini digemari oleh golongan yang dipertengahan usia, tak perlulah nak icing kat atasnya, sebab di usia ini kesihatan lebih utamakan.....dan ia tidak memuakkan bila dimakan

Kek Untuk Farell - 13 April

Besday kek untuk Farell dari Mama, Farell putera sulung Suenoreen yang juga dipanggil Abang, masa tulis kek ni, boleh terlupa nama Farell, sebab mama dia selalu panggil abang, kereta coklat itu untuk Aqil, tapi sayang...... Mak Lang dia dah kebas........

Ban Manis


Bila bakar roti harum semerbak satu rumah......hendak-hendak tengah malam


Yang ini tak timbang berat dia berapa, main bulat-bulat aja...dah penat!


Dari oven putihputihflavour




Mak Yong Mengidam Si Gebu

Alhamdulillah dapat juga aku buat si gebu ni....sebelum tu nak roti kacang merah, dah buat, lepas tu nak sigebu pulak....nasib baik sempat, kalau tidak meleleh air liur anak Yati..., puas pujuk suruh beli kat La Boheme dan Roti Boy, tapi dia tak nak...Kak Nor harap kalau mengidam lagi biarlah lambat sikit ya, penat menguli roti tak hilang lagi!........ha....ha......(tak taulah Yati ni, berkenan nar dengan aku...) kalau kenan, biarlah ikut yang baik ya.......!

Wednesday, April 14, 2010

Kenangan Untuk Mimi - Cencaru Goreng Kunyit


Ini adalah kenangan untuk kawanku Mimi semasa bersekolah SMDHHY Renggam, arwah mak dia selalu bekalkan nasi ni, lauknya ikan cencaru goreng kunyit dan renjis-renjiskan sedikit kicap. Kadang-kadang akupun tumpang sekaki, Mi dah tak ingat bekal warna apa Mi, tapi Kaklong bubuh dalam pinggan klasik lagi (vantage Malaysia) ha....ha....

Bubur Kacang Ayah

Bubur kacang ini adalah kegemaran ayahku, kami sekeluarga memang mengetahuinya......kalau nak tahu sebenarnya ayah memang pandai masak.........
Resepinya:

400 gm kacang hijau
1 ketul gula melaka
sedikit gula pasir
1 biji kelapa ambil santan secukupnya
2 helai daun pandan
sehiris halia (buang angin)

Cara Membuatnya:

Kacang hijau basuh bersih, dan rendam lebih kurang 10 minit di atas dapur. Selepas itu bolehlah dinyalakan api, rebus kacang hijau sampai empuk, bila dah empuk, buangkan air rebusan tadi, masukkan santan, gula, daun pandan dan halia. Rasalah manis dan lemaknya. Bila masak bolehlah diangkat. Sedap dimakan dengan biskut tawar yang keras ataupun roti.

Tip: Tujuan rendam sebentar ialah untuk kacang hijau itu cepat empuk, halia pula ialah untuk membuang angin, dan menerbitkan aroma yang sedap bila bercampur dengan kacang dan santan, ini adalah petua orang tua dulu-dulu, tidak rugi kita mengikutinya.

Sambal Sardin

Jemput-jemput kosong makan dengan sambal sardin, sambal sardin ni kesukaan kawanku Putri Fiza Nur (ofismate - besfren), masakannya simple aja..bila masak sardin ni...mesti teringat dia...dalam banyak-banyak masakanku ini yang dia suka.....

Resepinya

1 tin sardin yang sedang (aku guna Adabi)
3 sudu makan cili kisar - ikut pedas
3 ulas bawang bawang putih dihiris
5 ulas bawang merah dihiris
1 labu bawang besar potong bulat
sedikit halia hiris (untuk hilang hanyir sardin)
2 biji kentang potong baji - digoreng
2 biji cili merah
Asam keping- ikut rasa
Garam - ikut rasa
Minyak masak

Cara Memasaknya:

Panaskan sedikit minyak, goreng sardin sebentar saja, angkat sardin tersebut. Tumiskan bawang putih, bawang merah dan halia sampai naik bau, masukkan cili kisar - kacau sebentar, selepas itu masukkan sardin dan sedikit sosnya, kentang yang digoreng tadi dan asam keping, masukkan garam kacau sebentar - masukkan bawang besar dan cili merah yang dibelah 2.
Rasalah garam dan asam secukup rasa, masak angkat - sedia dihidang dengan nasi putih, roti dan jemput-jemput...
Moral daripada kisah ini ialah masakan mampu membuat kita sentiasa dikenang-kenang...........


Selamat Hari Lahir - popcorn


Buat seorang sahabat, betapa selama bersahabat aku tidak pernah tahu apa yang dia suka makan..........., air apa yang dia suka minum.........popcorn selalu mengingatkan aku padanya......selamat hari lahir...semoga hidupmu dirahmati Allah......Amin.....

Tuesday, April 13, 2010

Cinta Suci - Agar-agar Gulung

Agar-agar gulung ini memang betul-betul menguji kesabaranku....kena betul-betul kuat semangat untuk membuatnya

Agar-agar ini ditempah oleh bosku untuk dihadiahkan kepada isteri yang tersayang.....
Biru tanda cinta...putih tanda suci = CINTA SUCI

Agar-agar gulung dan agar-agar kering, tidak sia-sia aku berguru dengan orang lama,
belajar dengan mereka sabar paling penting!
kalau betul-betul buat boleh tahan bertahun.........



Cinta Yang Berserakan - Coklat Moist

Kek coklat moist dengan tema "cinta yang berserakan...." sesuai untuk yang putus cinta ha...ha...

Kek ini kawan Saferi order

Thursday, April 1, 2010

Jemput-Jemput Kosong Ayah

Inilah kegemaran ayahku untuk sarapan pagi dia, jemput-jemput kosong inilah yang selalu aku sediakan untuk ayah sebelum dia pergi kerja, ayah suka makan jemput-jemput ini dengan gula, sebab dia tak suka pedas-pedas. Jemput-jemput kosong ini nostalgia betul, inilah masakan yang aku tahu selepas tahu masak air dan masak nasi. Semasa kecil-kecil mak ajar masak air dahulu , masakan pertama yang setiap anak gadis mesti tahu, selepas itu barulah dia ajar masakan yang lain. Dulu-dulu mana ada cerek elektrik, dan cerek bunyi, kalau nak tahu air tu dah masak, kena tunggu tepi cerek, dengar dia mendidih sampai membuak-buak, itu tandanya
air dah masak betullah tu, betapa bangganya aku, bila ayah kata, sedap jemput-jemput yang anak ayah buat ni, senyum sampai ketelinga...ayah dah biasa bersarapan dengan makanan yang berasaskan tepung. Walaupun dah berumahtangga memori bersama ayah tetap aku rindu.

Jemput-Jemput Kosong Ayah

3 cawan tepung gandum

2 cawan air

1 camca teh garam halus

Bancuh kesemua bahan-bahan di atas sehingga rata, sedia untuk digoreng, jemput-jemput ini sedap juga dimakan dengan kuah asam pedas, atau sambal sardin, kari atau ikut kegemaran masing-masing.
Moral: Bagi anak-anak yang tidak pernah menyediakan air atau makanan untuk ayah & emak walaupun sekali, berbuatlah dari sekarang, anda masih belum terlambat, kasih sayang itu tercetus melalui makanan yang kita sediakan untuk mereka, masak dengan penuh kasih sayang.